PKINK TERIMA ANUGERAH PENGURUSAN PENTADBIRAN BERDASARKAN PENILAIAN NAZIRAN TAHUN 2025
KOTA BHARU, 8 Januari– Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), YABhg. Dato’ Sr. Haji Zamri Haji Ismail, telah menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan Tahun 2026, Amanat disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Kelantan yang berlangsung di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen Negeri, Ahli-ahli Dewan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri serta kakitangan penjawat awam Negeri Kelantan.
Dalam majlis yang sama, PKINK telah menerima Anugerah Pengurusan Pentadbiran Berdasarkan Penilaian Naziran Tahun 2025, sebagai pengiktirafan terhadap kecekapan dan kecemerlangan pengurusan pentadbiran organisasi. Lima agensi Negeri Kelantan telah menerima anugerah ini dan PKINK telah mendapat markah tertinggi bagi tahun 2025. Anugerah tersebut disampaikan kepada YABhg. Dato’ Sr. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan pelancaran Dasar Penerangan Negeri Kelantan (DPNK), Modul Smart Itqan dan Mushaf Darul Naim, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk memperkukuh tadbir urus dan nilai Islam di Negeri Kelantan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Haji Hassan; Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah; Mantan Menteri Besar Negeri Kelantan, YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.