KOTA BHARU: Ketika negara sedang dilanda wabak COVID-19, barisan doktor, jururawat serta kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan semua hospital di seluruh negara merupakan barisan hadapan yang setia menggalas tugas mengekang wabak yang sedang tular ini.
Barisan hadapan ini bekerja siang dan malam bagi memastikan para pesakit yang positif Covid-19 kembali sembuh dan tidak menjangkiti orang lain.
Mengambil kira komitmen dan pengorbanan mereka, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) tampil untuk memberikan sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan yang bertugas dengan menyediakan makanan tengah hari kepada mereka yang terlibat.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan PKINK, Mohamad Nasriff Daud berkata, sebanyak 315 pek makanan tengah hari diserahkan untuk diagihkan bermula hari ini selama 5 hari berturut-turut untuk semua kakitangan HRPZ II yang bertugas.
“Mereka bertungkus lumus melaksanakan tugas tanpa sempat memikirkan soal makan minum, penat dan lelah. Sumbangan ini adalah tanda penghargaan dan terima kasih serta sebagai cara kami bagi menzahirkan keprihatinan dan sokongan moral kepada mereka,” katanya selepas membuat penyerahan makanan di HRPZ II, Kota Bharu hari ini.
Turut hadir bersama Pengarah HRPZ II Dato' Dr Selasawati Ghazali, Timbalan Pengarah I HRPZ II Dr Mohd Azman Yacob, Timbalan Pengarah III HRPZ II Dr Tengku Annas Fathy Tengku Ahmad dan Pengurus Hotel Al-Ansar Atira Ludin.
Mohamad Nasriff turut berharap orang ramai senantiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sebagai langkah mengekang penularan wabak COVID-19 yang telah menjadi pandemik sebagaimana yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Sementara itu, Dato’ Dr Selasawati merakamkan ucapan terima kasih kepada Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad, Yayasan Iktisad Darulnaim dan Hotel Al-Ansar yang sentiasa prihatin serta hadir memberi sumbangan kepada pihak hospital setiap tahun.
“Tempoh ini merupakan satu tempoh yang amat mencabar buat kami. Sumbangan sebegini dapat meringankan beban untuk kami terus berkhidmat dan menghadapi cabaran demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
KOTA BHARU : Komunikasi adalah penting dalam organisasi sama ada dalam situasi formal ataupun tidak formal. Kaedah komunikasi yang baik dapat memastikan penyaluran sebarang maklumat dalam organisasi adalah tepat. Selain itu, kepimpinan yang berkualiti juga banyak bergantung kepada rantaian komunikasi yang efektif di mana setiap arahan dapat disampaikan dengan jelas ke arah menggerakkan misi dan visi organisasi. Sekiranya masalah komunikasi berlaku, maka kelancaran gerak kerja dan hala tuju sesebuah organisasi akan terbantut.
Menyedari hakikat betapa pentingnya komunikasi dalam sesebuah organisasi, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Komunikasi Berimpak Dalam Organisasi sebagai langkah meningkatkan kemahiran komunikasi berkesan di tempat kerja serta konsep asas komunikasi berimpak.
Kursus selama dua hari bermula pada 11 hingga 12 Mac yang bertempat di Bilik Operasi, Tingkat 10, Bangunan PKINK telah dikendalikan oleh Dr Mohd Razali Maarof. Para peserta kursus terdiri daripada 30 orang anggota pelbagai peringkat di PKINK termasuk dari Syarikat Kumpulan dilatih untuk menguasai pelbagai teknik dan strategi komunikasi, konsep mendengar serta kaedah berkesan bagi mengekalkan hubungan komunikasi antara di kalangan anggota. Kursus yang diadakan ini juga bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan kualiti berkomunikasi dalam organisasi.
Melalui penganjuran kursus sebegini diharapkan dapat menyuntik semangat dan mencetuskan perubahan ke arah yang lebih baik bagi memastikan Kumpulan PKINK terus memacu perubahan sebagaimana direncanakan oleh pihak Kerajaan.
KOTA BHARU 9 Mac : Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sentiasa berusaha melengkapkan anggota dengan ilmu agama kerana ia dapat menjadi panduan dan peringatan kepada semua anggota supaya sentiasa berdisiplin dan ikhlas dalam perjuangan serta bersungguh-sungguh dalam membuat sebarang tugasan yang diarahkan. Salah satu usaha yang dibuat adalah melalui siri pertama Tazkirah Bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), bertempat di Bilik Operasi Tingkat 10, Bangunan PKINK di sini, semalam.
Tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Hafiz Mat Sulaiman telah mengupas tentang kisah Raja Thalut dan Jalut yang terkandung dalam Surah Al Baqarah ayat 246 – 252 sebagai panduan setiap anggota PKINK supaya tidak gopoh dalam berjuang dan sentiasa mengharapkan ganjaran serta redha Allah S.W.T. Anggota PKINK turut diingatkan supaya mengambil kisah Al-Quran yang sememangnya sentiasa relevan tanpa mengira zaman serta sentiasa memperbanyak doa dan munajat sebagai lambang pergantunggan yang tinggi terhadap kekuasaan-Nya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus, Pengurus - Pengurus Bahagian dan semua anggota PKINK.
KOTA BHARU 16 Feb : Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah mengadakan Majlis Meraikan Khidmat Bakti Anggota Perbadanan bertempat di Bilik Operasi, Bangunan PKINK. Majlis ini bertujuan untuk meraikan persaraan dan mengenang jasa Encik Rusli Ismail yang telah berkhidmat selama 39 tahun di PKINK. Jawatan terakhir yang disandang beliau adalah sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Bahagian Projek & Sumber Asli.
Majlis yang disambut dengan suasana sederhana tapi penuh bermakna dimeriahkan dengan ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus serta ucapan terakhir Encik Rusli sebagai warga kerja PKINK.
Dalam ucapannya, beliau berkongsi sedikit sebanyak pengalaman kerja di PKINK. Majlis ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata persaraan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
Warga kerja Kumpulan PKINK mengucapkan jutaan terima kasih di atas jasa dan sumbangan yang diberikan oleh beliau semasa bertugas.
Turut hadir, Pengurus-pengurus kanan dan Pengurus-pengurus Bahagian Kumpulan.