KOTA BHARU, 18 Nov - Majlis Meraikan Khidmat Bakti Anggota Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) diadakan di Dewan Makan VIP, Bangunan PKINK bagi meraikan persaraan dan menghargai jasa En Radzali Bin Hussin yang bakal bersara wajib bermula 21 November 2020.
Majlis yang diatur secara ringkas tatkala bilangan kes jangkitan COVID-19 yang sedang meningkat pada masa ini diharapkan dapat diabadikan dan dijadikan sebagai tanda kenangan terindah buat beliau yang telah berkhidmat selama 15 tahun di PKINK. Cenderahati persaraan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (P&P) PKINK, Tn Hj Mohamad Nasriff Bin Daud mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK. Perbadanan mengucapkan terima kasih yang tak terhingga di atas perkhidmatan cemerlang beliau di PKINK.
Turut hadir, Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, En Ahmad Nazri Bin Hj Ismail dan Pengurusan Kumpulan PKINK.
KOTA BHARU, 17 Nov – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui Yayasan Iktisad Darulnaim (Yayasan) memberikan sumbangan komputer riba kepada Muhammad Khairuldin Al Hafiz Bin Ismail, seorang pelajar Diploma Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang, dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Tingkat 11, Bangunan PKINK hari ini.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Tn Hj Mohamad Nasriff Bin Daud, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (P&P). Beliau turut berpesan kepada penerima agar berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan manfaatkan sepenuhnya diploma yang diterima nanti untuk membina kerjaya di masa akan datang.
Turut hadir En Syarqawey Bin Abdul Ghani, Timbalan Pengurus Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PKINK dan pihak pengurusan Yayasan Iktisad Darulnaim (Yayasan).
DABONG, 11 Nov - Kelab Sukan & Kebajikan Kumpulan (KSKK) PKINK telah menganjurkan Program KB-Dabong Breakaway (Berbasikal Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK) pada 11 hingga 12 November 2020. Penyertaan peserta program ini seramai 51 orang yang terdiri daripada ahli-ahli KSKK di Perbadanan dan Syarikat Anak.
Program bermula dengan ucapan perasmian dan pelepasan peserta yang disempurnakan oleh YABrs. Tn Hj Abd Aziz Bin Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK di Kilang Sawit Tapis. “Para peserta Program KB-Dabong Breakaway perlu mengamalkan ‘safe-cycling’ dan saya mendoakan semua peserta tiba ke destinasi dengan selamat”, ujar beliau sebelum membuat pelepasan.
Kayuhan sejauh 23km di laluan berbukit amat menguji ketahanan mental dan fizikal para paserta tamat di Jelawang Pipe Resort di mana peserta program bermalam. Para peserta berpeluang menyertai aktiviti lasak menunggang ‘All Terrain Vehicle (ATV)’ menyelusuri trek hutan di persekitaran kawasan penginapan.
Turut hadir Tn Hj Mohamad Nasriff Bin Daud, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (P&P); En Hishamuddin Bin Hussein, Yang DiPertua KSKK; En Asmadi Bin Abd Rahman, Pengarah Program KB-Dabong Breakaway; Tn Hj Ahmad Nordin Bin Abdullah, Pengurus Besar Kilang Sawit Tapis; Pengurus-pengurus Bahagian dan Pengurus-pengurus Besar Syarikat Anak.
MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN DI ANTARA KERAJAAN NEGERI KELANTAN DAN KELANTAN ICT GATEWAY SDN BHD
KOTA BHARU, 4 Nov – Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. (KIGSB) sebuah syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan hari ini telah menandatangani perjanjian bersama Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan dan menguatkuasakan aktiviti pengauditan integriti keselamatan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi di Negeri ini.
Pengauditan ini bertujuan untuk memastikan menara dan struktur pemancar telekomunikasi sentiasa berada dalam keadaan kukuh, selamat dan sentiasa diselenggara supaya tidak menjejaskan keselamatan masyarakat setempat. Selain itu, melalui pengauditan ini juga struktur-struktur telekomunikasi yang dibina tanpa kebenaran serta kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan dapat dikenal pasti.
Disamping itu, masyarakat juga akan mendapat manfaat liputan telekomunikasi yang terbaik dan menyeluruh hasil dari pemantauan terhadap perkhidmatan syarikat telekomunikasi. Satu pengkalan data yang lengkap berkenaan liputan telekomunikasi dapat dibentuk untuk penyelarasan dan sebagai input dalam merangka pembangunan kemudahan telekomunikasi di Negeri Kelantan.
Perjanjian ini telah ditandatangani oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob, Menteri Besar Kelantan dan YB Dato’ Kaya Setia Dato’ Haji Nazran Bin Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd pula diwakili oleh YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Bin Dato’ Haji Hassan, Pengerusi KIGSB dan YABrs. Haji Abd Aziz Bin Yunus, Pengarah Eksekutif KIGSB.
Turut hadir YB Dato’ Ahmad Robert Bin Abd Rahim, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan; YB Dato’ Shahidani Bin Abd Aziz @ Juned, Penasihat Undang-Undang Nergeri Kelantan; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat; Pengurusan Kumpulan PKINK; Pengurus Besar KIGSB dan Pengurusan KIGSB.