PKINK Sertai Perbarisan Hari Kebangsaan ke 62
TANAH MERAH 31 Ogos : Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mengambil bahagian dalam perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke 62 peringkat negeri yang diadakan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah, disini pagi tadi.
Kontinjen PKINK seramai 32 orang bersama 62 kontinjen yang lain telah sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan yang bermula jam 7:00 pagi dan berakhir jam 10:30 pagi.
Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ini dirasmikan oleh YAB Dato' Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan.
Dato’ Ahmad ketika berucap berkata, nikmat kemerdekaan yang dikecapi hendaklah disyukuri, menghargai tokoh- tokoh pejuang kemerdekaan yang mengorban jiwa dan raga demi erti sebuah kemerdekaan negara, setiap rakyat mesti menghayati kemerdekaan dengan memastikan diri bebas daripada anasir-anasir tidak sihat khususnya penjajahan pemikiran yang melanda generasi muda.
“Marilah kita jalinkan hubungan yang harmoni sesama kaum di negeri dan negara kita dengan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Walaupun pegangan agama dan adat resam yang berlainan, namun ia tidak bererti kita menjadikan perbezaan tersebut sebagai asas kepada perpecahan.”
“Sama-samalah kita doakan semoga negeri dan negara kita sentiasa selamat dan sejahtera serta dijauhkan dari bencana penjajahan pemikiran yang boleh merosakkan kerukunan dan keamanan negara.”
Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Nazran Muhammad.
Sambutan Hari Kebangsaan KE 62 ini menjadi medan terbaik untuk rakyat Malaysia menzahirkan perasaan cintakan negara serta mewujudkan suasana perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.